Saturday, December 1, 2012

MALAM YANG TIADA MIMPI...

Alhamdulillah... dengan izin dan bantuanNYA, semalam saya berjaya menyiapkan tempahan 250 biji Mini Pizza tepat pada waktunya.

Tergamam juga saya tatkala menerima kunjungan 2 orang tetamu dari Klinik Ibu dan Anak Sg Sumun hampir sebulan yang lalu. Saya tidak pernah bersedia andai tetamu2 ini bertanyakan soalan "kenapa dah lama tak bawa anak ke klinik?" Apa yang perlu saya jawab? Tapi ternyata sangkaan saya meleset. Bukan soalan itu yang keluar dari mulut mereka, sebaliknya salah seorang dari mereka meminta agar saya menyediakan 200 biji Mini Pizza pada tarikh 30 Nov 2012...ya semalam tarikhnya...

Saya tergamam! Terpempan! Dalam hati gembira, syukur, tapi dalam masa yang sama tertanya2... Mampukah saya menyediakan Mini Pizza sebanyak itu dalam 1 malam dengan berbekalkan sebuah oven kecil? Sebiji oven hanya menerima 6 biji Mini Pizza, dan mengambil masa 10 minit untuk masak. Dan mampukah saya menguli berkilo-kilo tepung dalam masa 1 hari dengan kudrat sendiri tanpa bantuan mesin?

Saya pernah menerima tempahan kuih, kek... tapi tidak produk roti yang mengambil masa agak lama untuk disediakan. Setiap masa perlu diambil kira untuk menjadikannya naik cantik dan gebu.

Beberapa hari sebelum due, cik Misi menghantar SMS. Tempahan bertambah menjadi 250 biji. Semakin saya cuak. Perlukah saya menambah oven? Pening kepala dibuatnya hinggalah 29 Nov menjelma.

Pagi itu saya rasa cukup tenang. Saya uli tepung dan masak doh kosong hingga beberapa bancuhan. Selepas maghrib, saya mula membakar mini pizza bersama toppingnya. 

Siap membakar, membungkus dan mengemas... saya lihat jarum jam telah berada pada angka 12 dan 5. Ya, waktu itu pukul 5 pagi. Walau malam itu saya tidur hanya 1 jam setengah, tapi saya rasa cukup puas dan lena. Tidak mengapalah andai malam itu tiada mimpi yang menemani tidur saya, yang penting tanggung jawab saya terhadap Cik Misi telah sempurna.

Sejuta penghargaan buat mak dan suami kerana mengorbankan masa untuk tidur demi membantu dan menemani saya...




No comments: